25 October 2009

Menelusuri Sisa-Sisa Hidup


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Bertemu semula di ruang yang tiada sempadan ini, mudah-mudahan hari yang mendatang akan ditempohi dan disulami dengan ketaatan kepada Allah SWT serta menjauhi segala larangan Allah. Ketahuilah wahai sahabat-sahabatku sekalian jiwa yang selamat sejahtera ialah amat sedikit dosa dalam diri kita.

Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (yang diperintah oleh Allah dan RasulNya), kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat (maksiat) hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar). Rasulullah S.A.W. bersabda : "Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah orang yang berhijrah dari kejahatan. Dan mujahid yang sebenarnya ialah orang yang memerangi hawa nafsunya. "Apabila seseorang melakukan sesuatu maksiat, maka sebenarnya ia melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badannya, bermakna ianya telah menyalahgunakan nikmat anggota yang dianugerahkan dan mengkhianati terhadap amanah yang telah diberikan kepada nya.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Maka kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan disoal akan kepimpinannya". Riwayat Bukhairi dan Muslim dari IbnuUmar R.A. Semua anggota akan menjadi saksi di atas segala perbuatan di Padang Mahsyar. Firman Allah S.W.T : "Dihari itu (Kiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidah mu, tangan mu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di Dunia dahulu)." - Surah An Nur : Ayat 24. "Pada hari ini (Kiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah lakukan (di Dunia dahulu)." SurahYassin : ayat 65.

Pengajaran dari ayat yang tersebut di atas ialah agar kita sentiasa memelihara hubungan baik kita dengan Allah SWT dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala apa yang ditegahNya, dan untuk kita menjadi taat dan patuh kepada Allah dengan kita menjaga 7 anggota badan kita agar ianya tidak merosak atau mencederakan seluruh jasad kita semasa di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Pesan Imam Al-Haris Muhasibii agar kita sentiasa beringat atas 7 anggota badan kita ini:-

1) Menjaga Mata.

Pandanganlah paling banyak mengalih manusia kepada maksiat dari itu haruslah berjaga-jaga dalam pandangan mata kita kerana mata akan dipertanggungjawabkan ke atas manusia yang tidak menjaganya dari maksiat. Elakkanlah dari mengintai keaiban orang lain. Tutuplah aib orang jika ianya mendatangkan kemudaratan dan jauhkan dari penyelidikan. Ingatlah pandangan itu adalah pandangan anak iblis. Meninggalkan pandangan tidak elok dengan penuh keimanan kepada Allah nescaya Allah akan campakkan kelazatan iman dalam diri kita kepada Allah SWT.

2) Menjaga Telinga.

Pendengaran kita ada kait mengait dengan mata dan mulut maka kalau sesuatu yang tidak boleh dipandang mata, maka mulut dan telinga (pendengaran) turut sama tidak boleh terlibat. Tiada anggota yang boleh mendatangkan kecederaan yang sangat parah kepada jasad selain mata dan mulut ialah pendengaran. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (di dalam dosa) dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seorang daripada dua orang yang mengumpat."

3) Menjaga lidah.

Lidah adalah anggota yang paling berkesan ke atas diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Hendaklah kita bersedia untuk bercakap benar dan carilah cara yang terbaik untuk tidak menyakiti orang lain dengan lidah baik secara terang atau secara sembunyi dan berusahalah untuk meninggalkan bercakap lebih-lebihan. Berapa ramai nanti manusia yang akan dihumban ke dalam api neraka dengan sebab jenayah lidah mereka. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataannya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun." - Riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A. Pesan Nabi s.a.w lagi, ”Barangsiapa yang boleh menjamin bagiku akan lidah dan kemaluannya maka aku akan jamin syurga baginya.”

4) Menjaga perut.

Memelihara perut daripada memakan makanan yang haram atau yang syubahat ATAU berlebihan dalam memakan yang halal. Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.” Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah b. Mas’ud berkata, Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”

5) Menjaga Kemaluan.

Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. :"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." Surah Al Mukminun : Ayat 5-6.

6) Menjaga Dua Tangan.

Menjaga kedua tangan daripada memukul seseorang muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluk Allah atau menulis sesuatu yang diharamkan atau menyakiti perasaan orang lain. Apabila kamu mempunyai kuasa janganlah gunakan ianya untuk menyakiti orang bawahan kamu atau kepentingan kamu sendiri, kerana kuasa yang ada pada tangan kamu itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

7) Menjaga Dua Kaki.

Memelihara kedua kaki dari berjalan ke tempat yang diharamkan atau berjalan menuju kepada pemerintah yang zalim tanpa ada darurat atau paksaan kerana dianggap menghormati di atas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita berpaling daripada orang yang zalim. Firman Allah S.W.T. : "Dan jangan kamu cenderung hati kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disentuk oleh api neraka." - Surah Hud : ayat 113.


Kesimpulannya

Apabila kamu menggunakan anggota tubuh kamu bagi tujuan yang lain daripada yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. bermakna kamu tidak bersyukur (kufur) terhadap nikmat yang diberikan Nya kepada kamu. Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh) ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan di akhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat). - Riwayat At Tirmizi.Petikan dari Bidayatul Hidayah (Imam Al Ghazali)

"Aku tinggalkan dikalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua nya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W." - (Imam Malik)

(sumber haratzblogdrive.com) ....*.... Teringat kata-kata saya kepada seorang sahabat tahun lepas sebelum beliau pergi sambung belajar selepas kami tahu ke mana arah tuju kami selepas SPM "Inada pergi ngaji kat sana jangan lupa la jaga diri dan penting jugak kena jaga makan tu.Jangan kenyang sangat.huhu"pesan saya ikhlas dari lubuk hati.hoho


"Baikla.Faris pun samo la"balas dia.


Tapi selepas setahun lebih dari kata-kata itu saya tengok sahabat saya maintain je tapi saya je yang semakin gemuk atau kak sara panggil "cik cit".Sedihnye
.huhu

Semoga sem baru ini saya dapat menjaga 7 anggota sepertimana yang terkandung dalam kitab penawar bagi hati dan bidayatul hidayah.Dan saya juga berharap rakan-rakan saya dan pembaca juga dapat sama-sama menjaganya.Insyaallah.Akhir kalam,doakan saya dan rakan-rakan agar rajin belajar dan berkat ilmu yang dipelajari.Saya juga ingin memohon maaf jika ada tersalah kata terngupat kat mana-mana.Doakan kami ya

"Terlambatnya masa pemberian Allah(sesudah doa) janganlah hendaknya menyebabkan anda berputus asa,kerana Allah menangung terkabulnya doa anda menurut pilihaNya untuk anda bukan menurut apa yang anda pilih untuk diri anda serta masa yang Dia kehendaki dan bukan pada masa yang anda inginkan.Belum tertunainya janji Allah walaupun waktunya telah ditentukan jangan hendaknya menjadikan anda ragu terhadap janji Allah itu,agar tidak membuatkan cacat penglihatan hati dan memadamkan cahaya hati anda"-Ibnu Athaillah

"ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan sampai kepada orang yang melakukan maksiat"

Semoga diri kita diberkati dan dipermudahkan untuk mentaati Allah dan RasulNya. p/s.baca entry yang lepas kalau lepas ni lama tak update.asif jiddan

No comments: