22 November 2010

Apa yang ditunjukkan pada kisah keluarga ini?


salam satu malaysia.weee.Datangnya bulan zulhijjah ini semua membicarakan tentang pengorbanan dan ingin berkorban.Saya telah membaca satu artikel menarik untuk dikongsi

untuk lebih lanjut sila tengok website ini

http://ms.langitilahi.com/perkongsian-menjejak-keluarga-ibrahim/


Pengorbanan. Mengorbankan apa yang diri kita sayangi, untuk mentaati perintah Allah SWT. Itu yang saya hendak fokuskan dalam kisah keluarga Ibrahim. Mari kita lihat dengan lebih teliti, agar kita lebih merasai.

Pengorbanan pertama: Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di tanah gersang. Siapakah yang senang dengan keadaan demikian? Sebagai manusia, Nabi Ibrahim juga berat melakukannya. Namun itu adalah perintah Allah SWT, maka Nabi Ibrahim mengorbankan perasaannya, kepentinganya, kesenangannya, kerana yakin bahawa, tiadalah daripada perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia.

Pengorbanan kedua: Nabi Ibrahim sanggup merentas padang pasir daripada Palestin ke Makkah, satu perjalanan yang jauh, untuk menyembelih anaknya. Sekiranya kita lihat semula, apakah itu? Bersusah payah merentas padang pasir panas, yang jauh, yang sukar, semata-mata untuk menyembelih anak sendiri? Tetapi Nabi Ibrahim melaksanakannya. Padang pasir yang panas, perjalanan yang jauh, menjadi kecil padanya dalam mentaati Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa, tiadalah daripada mentaati Allah itu, selain kebaikan sahaja.

Pengorbanan ketiga: Melihat di sisi Ismail AS pula, anak itu tidak berdalih langsung semasa dinyatakan berkenaan penyembelihannya. Bahkan dia taat, dan menyuruh Ibrahim AS mentaatinya. Mengapa? Mengapa begitu sekali gaya Ismail AS? Hingga sanggup mengorbankan diri sendiri? Kerana itu adalah perintah Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa Allah tidak akan mengarahkan sesuatu yang sia-sia, maka dia sanggup mengorbankan dirinya untuk mentaati Allah SWT.

Pengorbanan keempat: Satu watak yang tersembunyi dalam kisah ini adalah Hajar. Adakah Ismail AS itu, terbentuk taat begitu sahaja secara tiba-tiba? Tidak. Pastinya ada didikan yang membentuk Ismail menjadi sedemikian rupa. Itulah dia didikan tangan seorang Hajar. Bayangkan, Hajar, seorang isteri yang ditinggalkan di tanah gersang, dan dialah yang membesarkan Ismail. Namun, dia tidak membesarkan Ismail menjadi seorang yang membenci bapanya, bahkan membesarkan Ismail menjadi orang yang amat taat kepada Allah SWT. Ini menandakan Hajar rela dengan segala apa yang dilakukan Ibrahim AS. Kerana apa? Kerana Hajar tahu, bahawa Ibrahim AS mentaati Allah SWT. Dan Hajar mengetahui bahawa, mentaati Allah SWT tidaka akn emmberikan apa-apa melainkan kemuliaan.

Pengorbanan kelima: Ibrahim AS benar-benar menyembelih Ismail AS. Dan Ismail AS tidak menunjukkan pelarian di situ. Mereka benar-benar melaksanakannya. Bahkan bersungguh-sungguh dalam mentaati perintah Allah SWT yang satu itu. Mengenepikan segala kepentingan diri, kesenangan hati dan kehendak peribadi. Semuanya untuk mentaati Allah SWT. Mereka melaksanakannya, semampu diri mereka. Bersungguh-sungguh.

Lima pengorbanan ini, kita perhatikan semula.

Semua ini didirikan atas apa?

Atas satu perkara. Ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanakah kita boleh taat kepada Allah SWT?

Dengan keimanan kepadaNya.

Kekuatan untuk mampu berkorban hakikatnya, bergantung kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kita kepada Allah SWT itulah yang memprodus kekuatan untu mengangkat perintahNya menjadi sesuatu yang besar dalam kehidupan kita melebihi kepentingan diri kita sendiri..

Inilah yang Allah mahu kita lihat, dan Aidiladha itu bukan semata-mata perayaan.

Tetapi ia seakan-akan satu peringatan tahunan.

“Apakah kamu wahai hamba-hambaKu, sudah bersedia untuk mengorbankan hawa nafsumu?”

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam?

Satu soalan mudah. Bagaimana kita menjawabnya?

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam dalam kehidupan kita ini?

Apabila bertemu perintah Allah dengan tuntutan hawa nafsu kita, yang mana satukah kita korbankan?

Apabila datang perintah Allah SWT, dengan kepentingan peribadi kita, yang mana satukah yang kita utamakan?

Bila datang perintah Allah SWT, dengan perintah selain daripada Allah SWT, yang mana satukah akan kita taatkan?

Kita perhatikan kembali kehidupan kita. Kita perhatikan kembali rutin kita.

Apa?

Aidiladha semakin hampir. Dan kamu lihatlah apa yang telah kamu korbankan?

Penutup: Yang berkorban itu, Allah bayar

Mengambil ‘ending’ kisah Keluarga Ibrahim tadi, Allah membayar segala pengorbanan keluarga itu dengan kemuliaan dan darjat yang tinggi tidak terhingga. Allah membalas ketaatan hamba-hambaNya, dan bukan membiarkan mereka begitu sahaja.

Di sini, ia merupakan satu motivasi buat kita, bahawa mengorbankan kepentingan diri dalam mentaati Allah SWT itu bukanlah sia-sia.

Panas sedikit, rimas sedikit pakai tudung, bukan sia-sia.

Nampak kuno sikit, berpakaian kemas dan tidak koyak-koyak, dedah-dedah, bukan sia-sia.

Korban masa sikit, untuk buat amal kebaikan dan amal bermanfaat, bukan sia-sia.

Buat baik pada orang, walaupun orang tak baik pada kita, bukan sia-sia.

Korban wang, sedekah pada yang memerlukan, bukan sia-sia.

Mereka yang mengorbankan nyawa, dalam menegakkan agama Allah SWT, bukan sia-sia.

Itulah keimanan kita.

Kita belajar daripada keluarga Ibrahim AS.

Namun siapakah yang memerhatikan?

Dan yang memerhati, siapakah yang mempraktiskannya?

Aidiladha semakin hampir.

Apakah tahap kesediaan berkorban untuk Allah kita?

No comments: