10 August 2009

Kisah Nabi Sulaiman


MUKADIMAH



Firman Allah SWT yang bermaksud



“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat akan tetapi yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”



Di zaman yang mencabar ini banyak wasilah-wasilah dan uslub dakwah yang digunakan mengikut perkembangan semasa selagi mana ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.Walaupun begitu perjalanan dakwah kaum-kaum terdahulu tidak diabaikan begitu sahaja,ianya terus dijadikan pengajaran untuk para pendakakwah menyesuaikan waqi’e semasa.



Kisah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis yang terdapat pada surah an-Naml merupakan suatu nilai dakwah yang menarik untuk direnungi bersama.Hanya dengan perantaraan seekor burung Hud-Hud,Nabi Sulaiman berdakwah kepada Puteri Balqis ternyata yang batil tunduk pada yang hak.



Kisah ini difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Naml yang bermula dari ayat 20-30,mengisahkan tentang kekuasaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Sulaiman yang dapat memerintahkan jin,manusia dan binatang.Namun dengan kesempurnaan yang begitu besarpun baginda tidak merasa megah dan sombong bahkan tetap bersyukur dengan kurnian Allah.



Sikap yang sebegini perlu diambil perhatian oleh segenap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang bergelar pemimpin.Ini adalah kerana setiap kekuasan dan kekayaan yang dimiliki bukannya milik mereka akan tetapi hanyalah sebagai amanah yang Allah kurniakan kepada mereka untuk disampaikan pada yang berhak.



PENGARAJARAN



Daripada kisah ini dapat kita ketahui bahawa peranan dakwah bukan saja ditaklifkan kepada Nabi-Nabi dan ulama’ terdahulu saja akan tetapi kepada seluruh umat Islam yang beriman dengan Allah dan Rasulnya.Sabda Rasulullah yang bermaksud

“Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat”.

Akan tetapi golongan agamawan adalah mereka yang sangat digalakkan untuk menyebarkan mesej dakwah Islam.Maka amat memalukan jika golongan agamawan ini lari dari kewajipan mereka yang sebenarnya iaitu menyeru kepada kebenaran dan menegah kemungkaran.Sedangkan seekor burung Hud-Hud yang kecil mampu untuk memikul beban dakwah yang akhirnya membuatkan Puteri Balqis tunduk kepada Islam.Sekiranya golongan agamawan mempunyai semangat sepertimana Hud-Hud ini dengan berbekalkan kekuatan,kecerdikan,keimanan dan tawakal nescaya dakwah Islamiyah akan berkembang ke serata pelusuk dunia.Akan tetapi apakah malangnya nasib umat Islam yang mempunyai bakal-bakal agamawan yang masih leka dihadapan kaca-kaca ajaib,dibaluti selimut hikmat sedangkan musuh-musuh Islam rancak merancang umat Islam untuk menjatuhkan Islam melalui penganutnya sendiri.



Firman Allah SWT



”Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung(yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata’mengapa aku tidak melihat Hud-Hud?adakah ia dari mereka yang tidak hadir?” an-Naml 20 .



Nabi Sulaiman ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai utusan dan Nabi untuk mengajak kaumnya kepada Islam tidak leka dan lalai dalam memerhati gerak-geri dan tingkah laku umatnya.Ayat tersebut menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya sikap dan sensetiviti kepada setia pendai’e dalam memerhati hal ehwal mad’unya.Pada pandangan psikologi,dakwah akan lebih berkesan dengan adanya maklumat-maklumat tentang hal ehwal mad’u kerana melaluinya uslub dakwah dapat disesuaikan dengan cara hidup mereka.



Para pendakwah perlu mengemukakan dalil dan hujah yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dalam menghadapi kemungkinan berlakunya perdebatan dengan mad’u.Tanpa ada dalil yang mantap mengakibatkan mesej dakwah yang akan disampaikan tidak akan diterima oleh mad’u.



Maka dengan hujah yang jelas dan tepat telah menyelamatkan Hud-Hud dari dikenakan azab dan siksaan bahkan ianya dijadikan sebagai perantaraan yang penting dalam dakwah Nabi Sulaiman kepada kaum Saba’.Firman Allah yang bermaksud



“Demi sesungguhnya!aku akan menyiksanya dengan siksaan yang seberat-beratnya,atau aku akan menyembelihnya,kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang dan nyata” an-Naml 21.



Seterusnya Firman Allah



“Hud-Hud itu tidak lama kemudian datang sambil berkata (kepada Sulaiman) ‘Aku dapat mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang diyakini kebenarannya” an-Naml 22.



“Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan (Balqis) yang memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar” an-Naml 23.



Ayat ini menunjukkan ketekunan dan ketabahan Hud-Hud dalam mencari dan mengumpulkan maklumat yang benar tentang kaum Saba’kemudian menyampaikannya kepada Nabi Sulaiman sepertimana yang dilihatnya tanpa mengubah atau memalsukannya walaupun terpaksa mengharungi kesusahan dalam mendapatkannya.Inilah sifat yang sepatuntnya ada kepada mereka yang bergelar pendakwah bukannya sifat yang ada pada sesetengah golongan agamawan yang menggunakan ilmu hanya untuk kepentingan dunia dan hawa nafsu semata-mata.Apabila merasa tertekan mereka sanggup berpaling dari tujuan dan matlamat sebenar demi menjaga periuk nasi mereka tanpa memikirkan balasan diakhirat yang menanti.Matlamat dan tujuan sebenar dakwah Islamiah adalah menyeru kepada beribadah seperti yang ditegaskan oleh Allah dalm firmannya yang bermaksud

“Katakanlah,inilah jala(agama)ku,aku dan orang-orang yang mengikutku mengajak(kamu)kepada Allah dengan hujah yang nyata,maha suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik”.surah yusof 108



Justeru para pendakwah perlulah melengkapkan dirinya dengan maklumat-maklumat dan ilmu yang mantap agar dapat mempertahankan kemurnian Islam.Hud-Hud ketika ia menyampaikan laporan tentang keadaan kaum Saba’ dan pemimpinnya tidak sedikitpun laporan yang disampaikan tersebut diubah dan diselewengkannya dari apa yang dilihat dan didapatinya.



Demikian sifat yang ada pada Hud-Hud yang diterjemahkan dalam al-Quran melalui firmannya yang bermaksud



“Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan syaitan pula memperelok pada pandangan mereka akan perbuatan syirik mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar) Oleh itu mereka tidak mendapat petunjuk” an-Naml 24



“(Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi dilangit dan dibumi dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan”. an-Naml 25



Pada zaman yang serba moden ini pelbagai wasilah dakwah boleh digunakan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat serta halatuju dakwah Islamiah.Antara yang dapat kita lihat pada hari ini ialah seperti jaringan internet,medan nasyid,penulisan,ceramah dan banyak lagi.Sebagai contoh Nabi Sulaiman telah menggunakan penulisan sebagaimana yang digunakan oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW dalam berdakjwah kepada Puteri Balqis dan kaumnya.Firman Allah yang bermaksud



“Pergilah dengan membawa suratku ini lalu jatuhkanlah kepada mereka,kemudian berpalinglah dari mereka,lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”



Mesej yang telah disampaikan melalui wasilah-wasilah tadi hendaklah dengan menggunaan uslub yang baik serta jelas dan mudah diterima.Firman Allah yang bermaksud



“Berkata ia (Balqis)’Hai pembesar-pembesarku,sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya isinya “Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,bahawa janganlah kamu sekelian bersikap sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang yang berserah diri.”



Dengan menyatakan perbincangan tentang sesuatu masalah ,ianya akan dapat menyelesaikan masalah tanpa berakhir dengan keburukan bahkan memberi petunjuk kepada kebenaran,hal ini terbukti kepada Puteri Balqis dan pembesarnya.Apabila mereka menyatakan perbincangan tentang apa yang mereka perlu lakukan setelah menerima seruan daripada Nabi Sulaiman adakah dengan menghantar bala tentera,kerana mereka mempunyai kekuatan ketenteraan yang lengkap ataupun dengan menerima seruan Nabi Allah Sulaiman.



Firman Allah SWT yang bermaksud



“Berkata dia (Balqis) Hai para pembesar! berilah aku pertimbangan dalam urusanku(ini) aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlisku.Mereka menjawab’kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan juga memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan) dan keputusan berada ditananmu.Maka pertimbangkanlah apa yang akan perintahkan .Dia berkata ‘Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki sesuatu neeri nescaya mereka membinasakanmu dan menjadilah penduduknya yang mulia jadi hina dan demikianlah pula yang akan mereka buat”.



Dalam urusan dakwah yang sememangnya penuh dengan ujian,para pendakwah perlulah mengikhlaskan diri kerana Allah tanpa mengaharapkan balasan dan sanjungan,serta berhati-hati dengan tipu daya golongan yang benci kepada Islam,mereka akan sentiasa akan mencuba untuk memusnahkan usaha-usaha dakwah yang dilakukan samada pujuk rayu atau mengumpan dengan harta benda.Dalam hal ini ,para pendakwah perlu kembali kepada sikap Nabi Muhamad SAW dalam menghadapi golongan seperti ini,Nabi SAW menolak segala tawaran golongan Quraisy supaya beliau meninggalkan dakwahnya.Sabda Nabi SAW



“Demi Allah!Wahai bapa saudaraku,sekiranya mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku agar aku meninggalkan urusanku ini sehingga Allah menzahirkannya atau membinasakan yang selainnya nescaya tidak akan aku tinggalkan urusanku ini.”



Nabi Sulaiman sepeti Nabi Muhamad SAW telah menolak tawaran hadiah daripada Puteri Balqis yang menyangka bahawa dengan tawaran tersebut Nabi Sulaiman tidak akan menghantar bala tenteranya keatas mereka.Ternyata sangkaan beliau meleset bahkan sebaliknya yang berlaku.Fiman Allah SWTyang bermaksud



“Dan sesungguhnya aku akan mengirimkan utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah,dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.Maka ketika utusan itu sampai Nabi Sulaiman berkata ‘Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikannya kepadamu,tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu,kembalilah kepada mereka,sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak kuasa menawannya dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina.”



Wasilah dan uslub yang digunakan oleh pendakwah perlu disertai dengan bukti dan hujah yang boleh memenangi hati para mad’unya.



Firman Allah yang bermaksud



“Berkata Sulaiman,hai pembesar-pembesar,siapakah diantara kamu yang mampu membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.Berkata jin Ifrit(yang cerdik),aku akan datang dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu.Sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dipercayai.Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari golongan ahli kitab’aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip’.Maka ketika Sulaiman melihat singgahsana itu terletak dihadapannya lalu baginda berkata ‘Ini termasuk kurniaan tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmatnya).”



KESIMPULAN



Didalam ayat ini juga terselit beberapa gambaran yang boleh digunakan oleh para pendakwah untuk menyampaikan mesej yang dibawanya.Pertamanya,pendakwah perlu menggunakan kemampuan dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dalam berlumba-lumba diarena dakwah dalam mengejar keredhaan Allah didunia dan akhirat disamping untuk mencapai tahap penerimaan mad’u yang tebaik.Keduanya setiap pendakwah perlu bersyukur kepada segala kurniaan Allah keatasnya daripada ilmudan kejayaan serta menghapuskan perasaan sombong dan ingkar serta mendabik dada dengan apa yang diperolehi.



Dalam menghadapi mad’u yang mempunyai berbagai karenah maka perlulah bagi pendakwah menguji tahap kemampuan fikiran dan keilmuan mad’unya.Dengan ini pendaie dapat menyesuaikan uslub yang bakal digunakannya mengikut tahap pemikiran setiap mad’u.Ianya juga perlu untuk menghadapi hujah dan perdebatan antara mereka.Sepertimana yang diterangkan dalam kisah tadi,Nabi Sulaiman menguji kepintaran Puteri Balqis dengan mengubah singgahsananya dari negeri Saba’ ke Palestin serta lantainya ditukar kepada kaca adakah dia mengenal akan singgahsananya itu.



Kemudian firman Allah SWT yang bermaksud



“Dia berkata ‘Ubahlah singgahsananya,maka kita akan melihat apakah dia mengenal ataukah dia termasuk oran-orang yang tidak menganalinya’ dan ketika Balqis datang ditanyakan kepadanya ‘Serupa inikah singgahsanamu?’Dia menjawab ‘Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku,kami telah diberi pengetahuan sebelumnya (Kenabian Sulaiman) dan kami adalah orang-orang yang berserah diri.Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah mencegahnya (untuk melahirkan Islam) kerana sesungguhnya dia dahulunya termasuk orang-orang kafir.Dikatakan kepadanya’Masuklah kedalam istana,maka tetakala melihat istana itu dikiranya kolam air yang besar dan disingkatkan kedua betisnya,berkatalah Sulaiman’Sesungguhnya ia adalah istana licin yan diperbuat dari kaca’.Berkata Balqis ‘Ya Tuhanku,sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah tuhan semesta alam”.



Demikianlah kesungguhan dan ikhtiar hud-hud telah memakaikan mahkota hidayah kepada Puteri Balqis ditangan Nabi Allah Sulaiman dan sesungguhnya amat patutlah bagi setiap pendaie menjadikan kisah ini sebagai pedoman dan pengajaran demi untuk mengukuhkan lagi nilai serta benih dakwah didalam dirinya mahupun mad’unya.wallahua’lam





(sumber tak ingat)

No comments: