21 August 2009

Kembali Menyapa


Dia kembali menyapaku tahun ini. Tapi entah kenapa, aku tetap begitu, seolah-olah acuh tidak acuh dengan kehadirannya. Padahal dia begitu setia denganku. Selagi maut tidak memisahkan kami, dia pasti akan kembali setelah pengembaraan yang panjang. Setiap tahun! Ah, kau terlalu setia.
Kerenah aku yang masih belum matang tidak membuatkannya putus asa denganku. Dia tetap setia bersamaku. Mengajarku erti sebuah pengorbanan, walaupun aku tidak mahu mengerti. Mengajarku erti kesabaran, walaupun aku tidak mahu memahami. Mendidikku erti sabar walaupun aku tidak cuba mendalami. Melatihku untuk mengabdikan diri kepada ALLAH walaupun aku tidak mahu menuruti.
Sudah jenuh mereka di kelilingku menasihatiku agar menghargai kehadirannya, supaya aku menggunakan peluang keemasan yang sebentar cuma untuk beribadah bersamanya. Kata ibu, dia anugerah ALLAH, jangan kau sia-siakan. Ayah pula mengeluh, bilalah kau akan menghargainya, nak?
Aku tidak mengerti, sihir apa yang digunakannya untk memukau kedua orang tuaku? Apa yang baiknya tentang dia? Apa kuasa yang dia ada? Sehingga dia tetap tidak jemu melayanku, walaupun aku tidak mengendahkannya. Ah, kau terlalu setia!
Namun sesuatu telah hadir dalam perasaanku ketika ini. Sepekan sebelum dia meninggalkanku. Perasaan sedih untuk berpisah dengannya. Perasaan rindu yang bakal menggamit hatiku. Perasaan bersalah atas sikap aku selama ini. Ya ALLAH, apa erti semua ini? Adakah aku telah jatuh cinta kepadanya?
Aku kerap kali mendengar dari mulut orang lain ketika dia di permusafiran. Kedatangannya dirai, detik bersamanya dihargai, pemergiannya ditangisi. Hebat, dia terlalu hebat! Sehingga aku terasa kerdil bersamanya. Ditambah pula dosa-dosa silamku, aku malu terhadapnya.
Air mataku mengalir, di sepertiga malam. Dia datang menyapaku, tatkala aku berwirid panjang di atas hamparan sejadahku.
Aku akan pergi lagi, bermusafir kembali.
Kata-katanya itu menghiris jiwaku. Air mata semakin laju.
Aku tidak mahu berpisah denganmu, aku bimbang andai maut menjemputku.
ALLAH adalah sebaik-baik tempat kembali.
Dia memujukku. Aku berterusan membisu, cuba menahan tangisan, bermanis muka dengannya.
Segala tarbiyah yang aku curahkan kepadamu tiga pekan yang lalu, kau gunalah sebaik mungkin. Aku datang bukan untuk kau berlakon di hadapanku, tetapi untuk melatih dirimu dekat dengan ALLAH. Aku akan gembira andai kau berterusan sebagaimana aku lihat sekarang. Namun andai kau berubah lepas ini, aku…
Kata-katanya terhenti. Tangisanku semakin jelas kedengaran.
Ya ALLAH, andai aku bisa memujuk Engkau, aku mohon untuk Kau menahannya daripada meninggalkanku. Namun ku sedar, ia tidak mungkin berlaku kerana melanggar sunnah-Mu. Namun ku mohon agar Engkau mempertemukan aku dengannya lagi. Kerinduan dan kecintaan yang mula berputik, biarlah kekal mekar di dasar hati. Segala tarbiyah yang aku terima daripadanya, biarlah aku dapat amalkan sehingga aku bertemu lagi dengannya. Andai maut memisahkan kami, matikanlah aku dalam husnul khatimah. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Aku akan terus merinduimu. Jangan tinggalkan aku Syahr Ramadhan!

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan.Semoga amalan kita di bulan yang mulia ini semakin meningkat

No comments: