Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....
Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan manusia ini sebaik-baik kejadian. Ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman Nya yang bermaksud, “Dan Kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian.” (Surah At-Tiin, ayat 4)
Manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana Allah SWT mengurniakan akal kepadanya. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang betul dengan yang salah atau antara yang hak dengan yang batil. Akal yang dianugerahkan ini juga sepatutnya dipandu dan digunakan untuk memikirkan tentang nikmat-nikmat dan rahmat-rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada kita agar kita bersyukur dan bertaqwa kepada-Nya. Apabila kita merenung sejenak terhadap nikmat-nikmat dan rahmat-rahmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, kita akan dapati ianya tidak terhitung dan tidak ternilai banyaknya. Salah satu daripada nikmat kurniaan Allah SWT ialah nikmat mata.
Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa…
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata...
Dari mata terbitnya asmara
Senyumanmu ramah menikam jiwa
Renungan mesra menjelma segera
Aku tertawan memendam rasa
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata...
Setiap waktu kucinta sayang
Sinar wajahmu selalu terbayang
Aku memujamu rayu seorang
Lepaskan aku dari impian
Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa…
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…
Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
Dari kerana mata...
Inilah antara bait-bait lagu klasik dendangan R. Azmi ini yang mengisahkan kekecewaan akibat panahan mata yang menggoda. Mata adalah salah satu daripada pancaindera kurniaan Allah SWT kepada setiap orang manusia. Ia merupakan satu dari-pada anggota badan yang penting yang dapat membantu manusia untuk mengharungi liku-liku hidupnya seharian. Manusia yang mempunyai mata tetapi tidak dapat menggunakannya untuk melihat dianggap sebagai orang buta. Mata dianggap penting bagi setiap orang manusia kerana tanpa mata atau orang yang buta mata akan mengalami kesulitan untuk berhubung dan berjalan dari satu tempat ke satu tempat.
Orang yang buta mata akan sentiasa berada dalam kegelapan. Hidupnya tidak ada perbezaan antara siang dan malam atau antara cerah dan gelap. Orang yang buta mata terpaksa menggunakan pembantu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Pembantu ini boleh jadi manusia lain yang dapat melihat dan sudi untuk mengatur langkah-langkahnya bersama-sama si buta tadi untuk memandu langkah dan arah perjalanannya.
Jika kita sedar akan hakikat betapa pentingnya mata, maka orang yang mempunyai mata yang sempurna (tidak buta) hendaklah berasa berterima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa kerana memberi kesempurnaan mata kepadanya. Selain dari itu, ia tidak seharusnya pula mengejek-ejek dan menghina-hina kawannya yang tidak bernasib baik, buta mata. Sebagai menyatakan rasa terima kasih dan bersyukur terhadap kemurahan Allah SWT mengurniakan mata untuk kita melihat, maka setiap manusia tidak sepatutnya menggunakan matanya untuk melihat perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hindari dan jauhilah daripada melakukan maksiat mata yang begitu mudah sekali berlakunya.
Pandai-pandailah kita menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah kepada kita itu untuk melihat kelebihan-kelebihan ciptaan Allah di langit dan di bumi. Dengan berbuat demikian kita akan merasa kagum dan sedar tentang betapa agung dan berkuasanya Allah menciptakan alam ini. Kesedaran ini pula boleh menambah teguh dan menambah kuatkan lagi keimanan kita terhadap Allah SWT. Kita akan menjadi manusia yang bertambah yakin dan kenal terhadap Allah yang menjadikan kita dan dengan itu akan bertambah pula ketaatan dan kebaktian kita kepada-Nya.
Manusia yang menggunakan matanya untuk melihat perkara-perkara yang baik dan tidak ditegah oleh Allah SWT dikira manusia yang tahu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan orang seperti ini dianggap sebagai orang yang taat dan bertaqwa kepada Allah. Sebaliknya seseorang itu dikira menderhakai dan tidak bersyukur kepada Allah apabila ia tidak mengawal dan membebaskan matanya untuk melihat segala apa yang diharamkan Allah. Melakukan maksiat mata adalah satu daripada amalan munkar yang dimurkai Allah.
Melihat wanita-wanita asing atau perempuan yang bukan muhrim baginya atau melihat gambar-gambar yang boleh membangkitkan nafsu berahi adalah di antara perbuatan yang dapat dianggap sebagai menyalahgunakan kurniaan mata. Perbuatan seperti ini memang tidak dibolehkan oleh Islam dan hukumnya adalah haram di sisi Allah SWT.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” Firman Allah lagi, “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya….” (Surah An-Nur, ayat 30-31)
Dalam ayat di atas, ada dua peringatan yang ingin dikhabarkan oleh Allah iaitu hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan dalam hal yang ditegah oleh Allah. Ini bermakna kita hendaklah sentiasa mengawasi pergerakan mata kita agar ianya tidak terjerumus ke lembah penglihatan yang diharamkan dan tidak diredhai oleh Allah SWT.
Dari Jarir bin Abdullah r.a. berkata, “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang tidak sengaja. Lalu beliau memerintahkan agar aku mengalihkan pandanganku.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, dan Tirmidzi)
Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi SAW sabdanya, “Penyakit yang timbul dari pengaruh jahat pandangan mata memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului qadar, tentulah itu pengaruh pandangan mata kerana itu apabila kamu disuruh mencuci mata maka cucilah!” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hal yang sama Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Pandangan (mata) itu adalah satu anak panah yang beracun daripada panah-panah iblis. Oleh kerana itu barangsiapa meninggalkannya, lantaran takut kepada Allah, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Tersebut dalam sya’ir:
Segala sesuatu yang baru terjadi
Permulaannya dari pandangan
Nyala api yang besar
Permulaannya dari pelatuk yang kecil
Orang yang mempermainkan mata
Sangat dikhawatirkan akibatnya
Berapa banyak pandangan
Yang masuk dan bekerja dalam hati
Bagaikan anak panah yang dilepas busur dan tali
Orang yang memperhatikan
Perkara yang membahayakan
Akan menyenangkan orang yang mempunyai kekhawatiran
Tetapi kalau akhirnya mencelakakan
Itu tidak membahayakan
Nabi Isa a.s. bersabda: “IYYAAKUM WANNADZARA FA INNAHAA TUZRI’U FILQOLBI SYAHWATAN WAKAFAA BIHAA FITNATAN” yang bermaksud, "Takutlah kamu sekalian pada pandangan (peliharalah dirimu dari memperhatikan) kerana sesungguhnya ia (memperhatikan itu) dapat menumbuhkan syahwat di dalam hati dan dapat menimbulkan fitnah (godaan) kerana pandangan itu." Seorang bertanya kepada Nabi Isa a.s, "Apa permulaan yang menyebabkan orang berzina?" Beliau bersabda, “Iaitu akibat memperhatikan perempuan dan memperhatikan dirinya.”
Sa’ad bin Jubair mengatakan hanyalah fitnah yang menimpa Nabi Daud a.s. adalah disebabkan pandangan beliau. Nabi Daud bersabda kepada putera beliau Nabi Sulaiman a.s., "Hai anakku! Berjalanlah di belakang harimau dan ular-ular besar yang berwama hitam dan janganlah kamu berjalan di belakang seorang perempuan." Difahamkan, apabila seorang perempuan menghadap ke muka maka syaitan akan duduk di bahagian kepalanya. Lalu syaitan memperindah diri perempuan itu yang diperuntukkan bagi orang yang memperhatikannya. Kalau seorang perempuan berpaling menghadap ke belakang maka Iblis duduk di pungungnya. Lalu syaitan memperindah perempuan itu yang diperuntukkan bagi orang yang memperhatikannya.
Ummu Salamah r.a. mengatakan bahawa Ibnu Ummi Maktum meminta izin kepada Rasulullah SAW. Saat itu aku dan Maimunah r.a. duduk bersama, maka Rasulullah bersabda: “Bertakbirlah kalian.” Kami menjawap, “Bukankah dia orang buta yang tidak dapat memandang kami?” Rasulullah bersabda, ”Apa kalian tidak dapat melihatnya juga?” Rasulullah SAW juga mengingatkan: “LA’ANALLAAHUNNAADZIRA WALMANDZUURA ILAIHI”, yang bermaksud, “Allah melaknat orang yang dipandang dan orang yang dipandangi (membalas pandangan).” Bagi perempuan yang beriman pada Allah, tidak dibenarkan memperlihatkan diri pada setiap orang asing, kerana yang tidak terikat oleh pernikahan atau muhrim kerana nasab atau sesusuan. Demikian pula orang lelaki tidak dibenarkan memperhatikan kaum wanita, sebaliknya kaum wanita balas memperhatikan pandangannya. Sebagaimana kaum lelaki menundukkan pandangannya kepada kaum wanita, maka menjadi kewajiban pula kaum wanita menundukkan pandangan mata terhadap kaum lelaki.
Pendapat itu sebagaimana ditekankan oleh Ibnu Hajar dalam kitab Az Zawajir. Tidak pula diperbolehkan lelaki bermusafahah (bersalaman) dengan perempuan yang bukan muhrim. Larangan ini berlaku juga pada perbuatan saling memberikan. Sebab itu perkara yang diharamkan memandangnya diharamkan pula memegangnya. Mengingat dengan cara memegangnya itu ia dapat merasakan kelazatan. Hal ini didasarkan pada dalil bahawa, kalau orang berpuasa lalu berpegangan dengan lawan jenisnya yang menyebabkan inzal (keluar mani), maka puasanya batal. Tetapi kalau keluarnya mani disebabkan oleh pandangan, puasanya tidak batal.
Diriwayatkan oleh Thabrani di dalam kitab Al Kabir dari mu’qal bin Yasar bahawa, salah seorang diantaramu yang dilukai kepalanya oleh jarum, itu lebih baik daripada memegang perempuan yang tidak dihalalkan untuknya. Rasulullah SAW memperingatkan, “ITTAQUU FITNATADDUN-YAA WAFITNA-TANNISAA FA-INNA AWWALA FITNATI BANII ISRA-IILA KAATAT MINQIBA-LINNISAA”, yang bermaksud, “Takutlah kalian terhadap fitnah dunia dan fitnah kaum wanita. Sebab permulaan fitnah yang menimpa Bani Isra-il itu adalah kaum wanita.” Rasulullah SAW juga bersabda, “WAMAA TARAKTU BA’DII FITNATAN ADHARRU ‘ALARRIJAALI MINANNISAA” (al-hadis) yang bermaksud, “Dan setelah masaku tidak ada fitnah yang lebih membahayakan terhadap kaum lelaki ke timbang fitnah akibat perempuan.”
Al-Lahazhat (Pandangan Pertama)
Rasulullah juga pernah berpesan kepada Saidina Ali r.a., “Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan (pertama) itu dengan pandangan (berikutnya). Pandangan (pertama) itu boleh buat kamu, tapi tidak dengan pandangan selanjutnya. Kerana pandangan pertama untukmu (dimaafkan) dan pandangan kedua tidak untukmu (tidak dimaafkan).” (Hadis riwayat Abu Daud).
Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa apabila kita terpandang kepada perkara yang haram, maka dilarang mengulangi pandangan itu. Kita harus mengawasi pandangan mata kita, jangan sampai pandangannya yang pertama mengikuti pandangan yang berikutnya. Rasulullah SAW mengingatkan kita, hanya pandangan yang pertama saja yang dibolehkan, pandangan yang kedua (yang berikutnya) adalah dilarang.
Mengapa pandangan yang berikutnya dilarang?
Pandangan yang kedua tidak dibolehkan kerana hasil besar kemungkinan dari pandangan itu akan timbul pula pelbagai tafsiran terhadap benda yang dipandang itu. Mata yang terpelihara ialah apabila memandang kepada jenis lain ia tidak mengamati kecantikannya dan tidak lama menoleh kepadanya serta tidak meletakkan pandangannya kepada yang dilihatnya itu. Pandangan yang kedua dan seterusnya boleh dipanggil provokator atau utusan syahwat. Menjaga pandangan merupakan perkara asas dalam usaha menjaga kemaluan. Barangsiapa yang melepaskan pandangannya tanpa kendali, nescaya dia akan menjerumuskan dirinya sendiri pada jurang kebinasaan.
Dalam Musnad Imam Ahmad, diriwayatkan dari Rasulullah SAW, “Pandangan itu adalah panah beracun dari panah-panah iblis. Maka barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari kecantikan seorang wanita, ikhlas kerana Allah, maka Allah akan memberikan di hatinya kelazatan sampai pada hari Kiamat.”
Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah kalian duduk-duduk di (tepi-tepi) jalan. Kami bertanya: Wahai Rasulullah SAW, kami tidak dapat meninggalkannya kerana kami sudah biasa begitu! Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu merasakan tidak boleh meninggalkannya, maka berilah hak jalan. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah itu hak jalan? Rasulullah SAW berkata: Memalingkan (menundukkan) pandangan (dari hal yang dilarang Allah), menyingkirkan gangguan (jangan mengganggu), menjawab salam dan berbuatlah kebaikan dan jauhkan daripada kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis di atas menjelaskan bahawa menundukkan pandangan itu adalah hak jalan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Sekiranya seseorang itu duduk di tepi jalan, terlalu banyak pandangan yang terlarang ke atas mereka. Oleh itu, menundukkan pandangan boleh mengelak daripada mendapat dosa.
Di Antara Bahaya Pandangan
Pandangan adalah asal muasal seluruh musibah yang menimpa manusia. Sebab, pandangan itu akan melahirkan lintasan dalam benak, kemudian lintasan itu akan melahirkan pikiran, dan pikiran itulah yang melahirkan syahwat, dan dari syahwat itu timbullah keinginan. Kemudian keinginan ini menjadi kuat dan berubah menjadi niat yang bulat. Akhirnya, apa yang tadinya hanya melintas dalam fikiran menjadi kenyataan dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang menghalanginya. Oleh kerananya, dikatakan oleh sebagian ahli hikmah, bahawa: “Bersabar dalam menahan pandangan mata (bebannya) adalah lebih ringan dibanding harus menanggung beban penderitaan yang ditimbulkannya.”
Seorang penyair mengatakan, setiap kejadian musibah (praktik zina) itu bermula dari pandangan, seperti kobaran api berasal dari percikan api yang kecil. Betapa banyak pandangan yang berhasil menembus ke dalam hati pemiliknya, seperti tembusnya anak panah yang dilepaskan dari busur dan talinya. Seorang hamba, selama dia masih mempunyai kelopak mata yang dia gunakan untuk memandang orang lain, maka dia berada pada posisi yang membahayakan. Dia memandang hal-hal yang menyenangkan matanya tapi membahayakan jiwanya, maka janganlah kamu sambut kesenangan yang akan membawa malapetaka.
Rasulullah menganggap bahawa seseorang itu telah melakukan zina mata apabila ia mengamati sesuatu kecantikan dengan penuh bernafsu dan liar khususnya pandangan terhadap benda yang ditegah oleh Islam. Pandangan yang seperti ini bukan sahaja membahayakan kemurnian budi, bahkan akan merosakkan kestabilan berfikir dan ketenteraman hati.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW sabdanya, "Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedang faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti." (Hadis sahih riwayat Muslim, no 2282)
Hikmah Menahan Pandangan
Bagi sesiapa yang memelihara pandangannya, maka Allah akan membalasnya dengan kemanisan dalam amal ibadat mereka. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang Muslim melihat kecantikan seorang wanita, kemudian dia menundukkan pandangannya, melainkan Allah akan menggantikannya dengan kemanisan dalam beribadah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Hal yang sama juga dinyatakan oleh Abdullah b Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya pandangan itu adalah salah satu daripada panah Iblis yang beracun. Barang sesiapa meninggalkannya kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku akan menggantikannya dengan manisnya keimanan yang dapat dia rasakan di dalam hatinya.” (Hadis riwayat at-Tabrani).
Allah memerintahkan hamba-Nya memelihara pandangan daripada perkara yang haram kerana dengan pandangan manusia akan terjerumus kepada kemaksiatan kemaluan. Bermula dengan pandang memandang yang dilarang itu, seseorang itu pula mahu berbicara atau mendengar suara seseorang. Apabila suka menyukai di antara dua insan, tidak mustahil mereka akan bertemu dan melakukan maksiat yang akhirnya terjebak kepada perzinaan. Keadaan ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam ditulis baginya bahagian daripada zina. Ia pasti melakukannya tanpa boleh menghindari, zina mata adalah memandang, zina lisan adalah berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki adalah melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, kemaluanlah yang membenar atau mendustakannya.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah memelihara anggotanya supaya jangan sampai terdedah kepada kemaksiatan yang boleh mengheret kepada perzinaan. Mereka yang berjaya memelihara setiap anggota daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah dan mengarahkannya kepada perkara yang disuruh oleh Allah adalah orang yang bertakwa kepada-Nya. Imam al-Ghazali menegaskan orang bertakwa itu ialah mereka yang melaksanakan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran anggota tubuh badan.
Justeru, umat Islam perlu menggunakan anggota mereka sebaik mungkin sebagai menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah di atas anugerah yang tidak ternilai itu. Bagi mereka yang diberikan sifat yang sempurna oleh Allah, perlu membuat perbandingan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ia untuk menilai pemberian Allah ke atas mereka dengan melihat orang yang bisu, pekak, buta dan seumpama yang tidak diberi oleh Allah kesempurnaan pancaindera berbanding dirinya. Dengan itu mereka dapat menjaga serta menggunakan anugerah anggota dan pancaindera itu sebaik mungkin.
Mereka yang menjaga dan menggunakan anggota dan pancaindera dengan baik, Rasulullah SAW menjamin tempatnya di syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Barang sesiapa menjamin bagiku di antara dua janggutnya (mulutnya) dan dua kakinya (kemaluan), nescaya aku menjamin untuknya syurga.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)
Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah telah menyatakan beberapa faedah menundukkan pandangan dalam kitabnya Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Mustaqim, di antaranya:
- Menundukkan pandangan bererti menunaikan perintah Allah SWT. Tiada orang yang bahagia di akhirat nanti melainkan orang yang menunaikan perintah-Nya.
- Menundukkan pandangan akan menguatkan hati dan membahagiakannya. Jika dibiarkan pandangan meliar akan menyebabkan lemah hatinya dan menjadi gelisah.
- Menundukkan pandangan membuatkan hati selalu mesra dengan Allah SWT. Jika dibiarkan pandangan meliar akan memporak-porandakan hati dan fikiran.
- Menundukkan pandangan akan mencerdaskan minda dengan luar biasa sebagai mana ulama-ulama muktabar seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Imam Nawawi dan lainnya.
- Menundukkan pandangan akan menguatkan ketabahan, berani, mempunyai pandangan yang jauh serta hujahnya kuat dan bernas.
- Menundukkan pandangan akan membebaskan hati dari tawanan syahwat.
- Menundukkan pandangan akan membentengi seseorang dari bisikan dan tipu daya syaitan.
- Menundukkan pandangan akan menyucikan hati dari kebanyakan maksiat.
- Menundukkan pandangan akan merupakan mahar/mas kahwin untuk bidadari.
- Menundukkan pandangan akan mempercepatkan seseorang menguasai ilmu yang dipelajari.
Adalah tidak digalakkan seseorang itu berjalan dengan matanya meliar. Lelaki dan perempuan yang menundukkan pandangan nampak bersopan dan beradab dari segi moralnya. Itulah akhlak yang sangat-sangat dituntut dalam setiap muslimin dan muslimat.
Kuasai Nafsu Dengan Iman dan Akalmu
Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.
ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها
Ertinya: "Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah SWT akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya." (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)
Juga disebut dalam sebuah athar :
النظر سهم مسموم من سهام إبليس
Ertinya: "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis." ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7)
Malah ia juga bakal merosakkan hati :-
كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله
Ertinya: "Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah SWT." ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)
Memandangkan betapa pentingnya mata kepada setiap insan maka setiap orang yang mempunyai mata yang sempurna – tidak buta dan tidak rabun, hendaklah menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah itu dengan sebaik-baiknya. Gunakanlah mata untuk melihat kecantikan alam ciptaan Allah SWT ini mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Elakkan diri dari melihat perkara-perkara yang ditegah oleh syariat. Sesungguhnya Allah amat mengetahui akan setiap sesuatu yang kita kerjakan. Oleh itu berikhlaslah kepada diri sendiri dalam menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan diberkati dan dirahmati-Nya baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Renung-renungkan dan selamat beramal!